Agama

Bersihkan Rumah Pun Kena Ada Ilmu, Elak Mop Lantai Bercampur Najis, Ustaz Ni Jelaskan

Aktiviti mengemas rumah seperti mengemop lantai memang selalu kita buat setiap hari. Rutin harian ini nampak mudah pada pandangan mata kita. Mudah pada pandangan mata tetapi sebenarnya ada banyak ilmu yang harus kita pelajari.

Mengemop lantai hingga benar-benar bersih dan diistilah bersih di sisi islam, Ustaz Syed Shahridzan buat pencerahan ke atas permasalahan ini. Jangan pandang mudah. Pastikan rumah kita, syurga kita anak beranak ini bebas najis dan bersih.

AIR MOP LANTAI BERCAMPUR NAJIS

Banyak orang zaman sekarang, bila ada najis seperti muntah, tahi lipas ke, cicak ke, dia buang dulu najis kmudian mop, cuma, dia tak guna air mutlak, dia guna air mop lantai (sabun lantai). Adakah semua kawasan lantai yang dia mop menjadi najis atau kawasan najis tu sahaja selepas mop?

Menurut mazhab Syafi’ie, air yang berkapasiti 2 kolah (230 liter) dan ke atas bercampur dengan najis, maka air tersebut tidak bertukar menjadi najis melainkan berubah salah satu dari 3 sifat air tersebut, iaitu bau, warna atau rasa. Ini berdasarkan sepotong hadith yang menyebut:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا – قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا كَانَ الْمَاءَ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلْ الْخَبَثَ».وَفِي لَفْظٍ: «لَمْ يَنْجُسْ». أَخْرَجَهُ الْأَرْبَعَةُ، وَصَحَّحَهُ ابْنُ خُزَيْمَةَ وَابْنُ حِبَّانَ وَالحَاكِمُ

Maksudnya: Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda: “Jika kandungan air mencapai dua kolah maka ia tidak mengandungi kotoran.” Dalam suatu lafaz hadith: “Tidak bernajis”. (Diriwayatkan oleh Imam empat dan dinilai sahih oleh Ibnu Khuzaimah, Hakim, dan Ibnu Hibban)

Jadi jika air mutlak 2 kolah dan ke atas berubah salah satu sifatnya contoh jernih berubah warna kekuningan disebabkan najis, maka air itu bukan lagi air mutlak malah kategori air mutanajjis (air najis). Ini berdasarkan hadith baginda -sallallahu ‘alaihi wa sallam- yang menjelaskan:

وَعَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ – رضي الله عنه – قَالَ: قَالَ رَسُولُ – صلى الله عليه وسلم: «إِنَّ الْمَاءَ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ، إِلَّا مَا غَلَبَ عَلَى رِيحِهِ وَطَعْمِهِ، وَلَوْنِهِ». أَخْرَجَهُ ابْنُ مَاجَهْ

Maksudnya: Abu Umamah al-Bahily RA bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda: “Sesungguhnya air itu tidak ada sesuatu pun yang menajiskan ia kecuali sesuatu yang dapat merubah bau, rasa dan warnanya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Manakala air di bawah kapasiti dua kolah, jika bercampur dengan najis maka secara automatik ia berubah menjadi air mutanajjis (air najis) meskipun tidak berubah sifat sama sekali. Ini kerana kekuatan menolak kesan najis hanya ada pada air yang berkapasiti 2 kolah dan ke atas sepertimana yang dinyatakan oleh Baginda -sallalhu ‘alaihi wa sallam- dalam hadith di atas.

Berbalik kepada air mop yang bercampur najis seperti najis dan muntah. Mengikut kaedah mazhab Syafi’ie, air mop di dalam baldi bercampur dengan najis maka air itu menjadi air mutanajjis. Bahan bernajis seperti air mutanajjis haram dimanfaatkan termasuklah mop lantai menurut mazhab Syafi’ie. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab-kitab fiqh Syafi’ie antaranya Imam al-Khatib al-Syirbini -Rahimahullah-, sepertimana kata beliau di dalam karangannya ‘al-Iqna Fi Hall Alfaz Abi Syuja’:

لو أخذ دما أجنبيا ولطخ به نفسه أي بدنه أو ثوبه فإنه لا يعفى عن شيء منه لتعديه بذلك فإن التضمخ بالنجاسة حرام

Maksudnya: ” Begitu juga seseorang yang mengambil darah orang lain(ajnabi) kemudian melumuri dirinya iaitu badannya atau pakaiannya maka ia tidak dimaafkan sedikit darinya kerana lumuran darah yang melampau pada dirinya, sesungguhnya meletakkan(menyentuh) najis adalah haram”.

Oleh disarankan sesiapa yang mop lantai agar mengelakkan dari membersihkan lantai yang dengan air yang sudah bercampur dengan najis. Ini kerana kapasiti air di dalam baldi ternyata di bawah kadar 2 kolah, maka ia bernajis apabila bercampur najis meskipun tidak berubah sifatnya. Ini kerana air yang bernajis tidak dikira mampu menyucikan sesuatu tempat dari najis.

Jika lantai yang sudah dimop dengan air yang bercampur najis yang tidak dimaafkan, maka wajib lantai dibilas/disapu dengan air mutlak sehingga hilang kesan-kesan najis pada tempat itu. Apa pun terpulang kepada kebijaksaan masing-masing untuk melaksanakan cara penyucian tempat yang bernajis mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak.

Antara najis yang dimaafkan ialah najis cicak yang terlalu sedikit. Sebagai contoh najis cicak dua tiga butir termasuk ke dalam air baldi, ia dikategori najis yang dimaafkan selagimana ia tidak merubah sifat air. Ini kerana tahi cicak antara najis yang sukar untuk dielakkan. Jika ia banyak maka tidak dimaafkan iaitu menajiskan air yang sedikit walaupun tidak berubah sifat.

Bolehkan membersihkan tempat bernajis dengan air sabun? Menurut mazhab Syafi’ie, tempat atau benda yang terkena najis wajib dibersihkan dengan air mutlak dan tidak sah dengan air mutlak yang bercampur dengan bahan lain seperti sabun. Tiada masalah untuk menggunakan air sabun untuk basuhan awal namun basuhan kedua mestilah menggunakan(bilas) air mutlak.

Menurut mazhab Hanafi, air mutlak yang berubah sifatnya dengan bahan lain seperti sabun maka ia tetap suci dan menyucikan. Pendapat mazhab Hanafi boleh diamalkan jika melibatkan kawasan terlalu besar seperti kilang dan proses pembersihan melibatkan mesin canggih yang menggunakan sabun, ini termasuk kategori darurat. Manakala tempat yang kecil seperti rumah maka jangan lari dari kaedah mazhab Syafi’ie.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Kredit: Ustaz Syed Shahridzan

Mop Tempat Lain Dalam Rumah Selepas Mop Tahi Cicak – UAI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *