Agama

Bersin Ketika Solat, Adakah Perlu Mengucapkan Alhamdulillah? Ini Penjelasan Mufti

Sekiranya seorang yang sedang solat (fardu atau sunat) lalu terbersin, adakah boleh bagi dirinya untuk mengucapkan hamdalah?

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa bagi seseorang yang sedang solat, kemudian terbersin maka disunatkan untuk mengucapkan hamdalah dan ucapan tersebut hanya didengari oleh dirinya sendiri dan itulah mazhab Syafi’e.

Al-Imam al-Zarkashi Rahimahullah pula menyebutkan bahawa bagi mereka yang bersin ketika sedang solat maka hendaklah digerakkan lidahnya bagi menyebut hamdalah dan didengari oleh dirinya adapun al-Imam al-Ghazali Rahimahullah secara jelas di dalam al-Ihya’ mengatakan perlu mengucapkan hamdalah di dalam hati tanpa menggerakkan lidah.

Adapun untuk mengucapkan tashmit di dalam solat, maka ianya tidak dibenarkan dan boleh membatalkan solat. Ini kerana ungkapan tashmit ( يَرْحَمُكَ اللَّه ) di kira sebagai satu perbualan adami. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW pernah berkata kepada Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA selepas selesai solat:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلاَةَ لاَ يَصْلُحُ فِيهَا شَىْءٌ مِنْ كَلاَمِ النَّاسِ إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Sesungguhnya solat ini bukanlah padanya tempat untuk berbual dengan perbualan manusia bahkan ianya adalah tasbih, takbir dan bacaan al-Quran. Riwayat Muslim (537)

Ini kerana sebelum itu di dalam solat, Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA telah mengucapkan tashmit dan Nabi SAW menegurnya selepas solat akan perbuatannya itu melalui hadis di atas. Meskipun pada asalnya batal solat Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA (kerana berkata-kata) namun Nabi SAW tidak menyuruh untuk mengulangi solatnya kerana pada waktu itu, Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami RA baru sahaja memeluk Islam.

Kesimpulan

Bagi isu ini, bagi mereka yang bersin ketika sedang bersolat maka disunatkan untuk mengucapkan hamdalah namun bagi yang mendengarnya tidak dibolehkan untuk mengucapkan tashmit kerana ianya boleh membatalkan solat.

Adapun mengucapkan hamdalah tersebut, perlulah diucapkan dengar perlahan sekadar didengari oleh dirinya sendiri agar tidak menganggu jemaah solat yang lain. Wallahu a’lam.

Sumber: muftiwp.gov.my

Ustaz Azhar Idrus – Bersin Lalu Terucap Alhamdulillah Ketika Solat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *