Kisah Keluarga

Orang Kedekut Dan Sentiasa Berkira Dengan Pasangan Tidak Akan Bahagia

Ada sesetengah pasangan tak berkira bab makan tapi cukup kedekut nak keluar duit beli barangan dapur atau barang keperluan harian. Kadang boleh jadi gaduh sebab terlalu banyak kali sebut. Ini salah satu kes:

“Kalau pergi makan, dia akan check harga dan cakap, hari ini kita makan hanya dalam kos RM15 aja, ya. Kalau beli barang, saya perhatikan bukan jenama yang ditengok tapi harga dulu. Saya tidak kisahlah kalau dia peka pada harga. Tapi bila dia cakap, kita tak payah beli barang hari ini, tunggu cukup bulan dan kalau penting baru beli. Padahal barang yang nak dibeli tu barang keperluan makanan bukan barang mewah. Saya memang bengang dengan sikap kedekut dia. Rasa macam nak putuskan hubungan.

Seminggu lepas itu, dia Whatsapp bagi tahu saya bahawa dia sudah putus hubungan! Saya pun terfikir-fikir juga perkahwinan jika suami atau isteri kedekut tidak menentu memang boleh membawa ketegangan dalam hubungan. Kedekut dan berkira soal kewangan ini berbeza. Kedekut ini adalah sikap yang keterlaluan dalam perkiraan belanjawan hingga membawa kesusahan pada pasangan dan keluarga.

Contohnya, nak beli baju tak boleh, kalau beli pun yang sudah outdated dan sebagainya. Makan pun berkira bajet, nak berjalan pun berkira jauh dekatnya takut bayar tol dan minyak lebih. Nak beri duit pada anak isteri pun berkira dan apa yang diberi pun memang menyedihkan hati isteri!

Ada juga isteri yang memang kaki kedekut macam Haji Bakhil juga. Suami kasi duit dapur sehari RM20.00 untuk masak makanan berkhasiat, eh! dia belanja RM10.00 aja makanan yang tidak berkualiti kerana dia berkata jangan membazir. Tetapi dibazirkan pada pinggan mangkuk boleh pula.

Kalau dengar saudara mara nak datang, mulalah dia mencatu makanan. Kalau yang datang 10 orang, digorengnya ayam hanya 10 ketul, ikan 10 ekor dan nasi satu senduk! Memang kedekut! Sikap kedekut ni bukan kerana dia miskin tak ada duit tapi lebih kepada soal hati yang tidak pernah rasa untuk berkongsi kelebihan yang dia ada dengan orang lain!

Yang banyak duit tu kadang-kadang lebih ramai yang kedekut. Yang tak ada duit pula tidak kedekut kerana memang tidak ada duit untuk di ‘kedekut’kan! dan suka belanja orang walaupun hanya secawan teh!

Macam mana nak atasi sikap kedekut pasangan? Susah nak jawab kerana ini sikap yang dibawa daripada kecil hingga dewasa dan ke alam rumah tangga! Tapi kalau dapat suami kedekut, kita cuba buat bajet bulanan pada suami tapi top up kan 50 peratus dari belanja asal kerana jika suami turunkan bajet, masih cukup belanja.

Orang kedekut suka pandang serong dan sinis pada apa yang kita lakukan. Kita masak tiga jenis lauk dia kata membazir, tapi dia yang makan tiga pinggan. Kita masak ketam, dia kata ketam mahal, tapi dia yang bedal ketam sampai anak nak makan tinggal sepit ketam. Kita beli sofa baru ganti yang lusuh, dikata membazir, tapi dia yang tidur sampai mengigau-gigau atas sofa.

Kepada suami dan isteri di luar sana, janganlah terlalu kedekut kepada pasangan anda dan juga keluarga yang di bawah perhatian dan jagaan anda. Berpada-padalah kalau nak kedekut. Takut kalau kedekut sangat dan kalau nak sampai tahap tangkai jering yang dah kering, ditakuti, anda nanti ditinggal sendirian dan kekeringan kasih sayang daripada anak isteri atau suami anda! Jadi jangan kedekut tapi dekatlah kepada sikap bermurah hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *